PREMIER LANCAR MODEL MENARA MASJID JAMEK NEGERI SARAWAK

Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg hari ini merasmikan model menara baharu bagi Masjid Jamek Negeri Sarawak.

2024

7/26/20241 min read

Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg hari ini merasmikan model menara baharu bagi Masjid Jamek Negeri Sarawak. Pelancaran model ini berlangsung pada Majlis Menelusuri Kegemilangan LAKMNS bertempat di Anjung Masjid Jamek Negeri Sarawak.

Projek yang dijangka bermula pada tahun 2025 ini akan melibatkan empat buah menara utama setinggi 75 meter serta dua buah menara kecil setinggi 65 meter. Menara ini berkonsepkan tenaga hijau, yang mana ia akan dilengkapi dengan panel solar dan lampu rendah tenaga.

Turut dilancarkan pada majlis ini adalah buku terbitan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) berjudul Menelusuri Kegemilangan. Buku ini mengandungi susur galur penubuhan serta perkembangan masjid di bawah kendalian LAKMNS iaitu Masjid Bandaraya Kuching dan Masjid Jamek Negeri Sarawak serta perkembangan LAKMNS. Buku ini turut memaparkan maklumat tentang transfromasi LAKMNS serta pencapaiannya sejak ditubuhkan.

Turut hadir pada majlis ini Timbalan Premier Sarawak, Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Yang Berhormat Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki, Ahli-ahli Lembaga LAKMNS, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, YBhg. Datu Haji Misnu bin Haji Taha, Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg. Datuk Haji Abang Abdul Wahap bin Haji Abang Julai, serta pengurusan tertinggi LAKMNS, dan beberapa kenamaan negeri.